Hargai Si Pengerah Kudrat

Betul apa orang kata. Benda paling trauma adalah benda yang akan kita ingat sampai bila-bila.

Saya dalam perjalanan ke Mcdonalds naik Grab Car. Keluar dari simpang Klang Gate ke MRR2 arah Taman Melati, ternampak ramai penunggang motor berhenti di tepi susur keluar . Saya syak mungkin ada kemalangan atau mungkin juga gathering tepi jalan budak-budak baru belajar naik motor.

Tak berani pun nak jenguk semula memandangkan otak dah mula mengimbas rupa-rupa penunggang motor kemalangan yang pernah dilihat.

Tiba-tiba rasa seram sejuk.

Peluh dingin dah mula keluar.

Perut dah rasa kecut.

Kemalangan motor pertama yang saya pernah tengok dulu di simpang traffic light, 22 tahun lepas. Dalam perjalanan ke sekolah waktu tu.

Motor hancur. Badan penunggang di tengah simpang. Masih bertopi keledar. Tapi darah penuh di atas jalan, mengalir keluar dari topi keledar.

Itu kemalangan pertama. Dah cukup meninggalkan parut pada memori otak.

Kemalangan kedua, waktu masih beranak satu. Shariff mungkin baru setahun. Keluar dari rumah mentua menghala ke Kajang.

Tiba-tiba nampak ada kereta kancil nak keluar dari simpang kedai masuk ke jalan saya. Di waktu tu juga nampak seorang penunggang motor, seorang pakcik India tua di jalan sebelah menghala ke jalan rumah mentua.

Kereta kancil tu mungkin tak perasan, atau terlebih yakin.

Pecut masuk juga akhirnya, menyeberangi jalan pakcik motor tu masuk ke jalan saya.

Boom! Terpelanting pakcik tu, terbang melintasi kereta kancil.

Jatuh terjelepok di atas jalan. Darah mengalir keluar dari topi keledar. Cerita lain, saya tak ambil pusing. Tiba-tiba rasa kecut satu badan teringatkan darah tu.

Kemalangan ketiga, hari pertama datang kerja di Sharp Electronics, 8 tahun lepas. Di highway NKVE, ada kereta saya dah nampak dari jauh macam teragak-agak nak masuk ke simpang Damansara.

Saya abaikan sambil teruskan perjalanan dengan kelajuan sederhana.

Tiba-tiba, terus dia potong laju masuk ke susur Damansara dari highway. Saya terkejut! Walaupun masih dalam jarak yang selamat, tapi tetap bahaya.

Malangnya, seorang penunnggang motor yang ada di laluan kecemasan jadi mangsa.

Motor terus merempuh belakang kereta dia, dan penunggang terjunam masuk ke cermin kereta belakang.

Tak bergerak. Darah membasahi cermin.

Sambil menggigil-gigil, saya terus telefon 911. Terketar-ketar waktu nak jawab dan beri lokasi batu berapa seperti yang ditanya.

Sampai ke Sharp, peluh dingin masih membasahi badan. Trauma.

Kemalangan tak dijangka waktu saya dalam mood gembira.

Kemalangan keempat,

Dalam perjalanan ke Sharp juga. Sedang mengandungkan Raina. Di atas flyover Bandar Tasik Selatan, saya nampak satu treler panjang sedang berhenti di lane kiri flyover. Tapi masih belum sesak, cuma kereta dah mula perlahan. Mungkin baru.

Saya hairan. Rosak ke. Nampak pemandu treler turun dan jenguk ke bawah treler.

Disebabkan saya naik Kelisa, kereta yang rendah membolehkan saya tengok apa yang ada di bawah treler.

Tergamam! Darah yang banyak di bawah treler dah aktifkan otak mengimbas kemalangan yang dulu-dulu.

Betul, ada penunggang motor yang tersepit di bawah tayar treler. Motor hancur di sebelah badan. Ini kemalangan paling ngeri. Masih trauma bila teringat-ingat.

Kesian. Lorong kecemasan di atas flyover memang sempit. Suami kata, penunggang motor berisiko tinggi untuk jatuh bila ada lori atau treler besar lalu di tepi. Ibarat angin lintang datang menyerang.

Saya trauma. Dan habis terus mood. Kemalangan depan mata, akan beri kesan pada saya hingga berhari-hari. Masih teringat-ingat. Sedih.

Apa akan jadi dengan keluarga dia? Macamana rupa ahli keluarga bila datang ke tempat kemalangan? Macamana anak-anak dia membesar tanpa ayah? Kalau ingat, fikir, memang sedih.

Pandang ke sisi, saya masih ada suami dan anak-anak. Syukur masih bernyawa dan mampu menjaga saya dan anak-anak.

Saya teringat kisah seorang kakak senior dulu. Suaminya meninggal tak silap saya akibat kemalangan.

Teringat bait-bait terakhir yang dia pesan pada rakan-rakan perempuan,

“Waktu suami hidup, kadang-kadang kita abaikan suami. Kita tak berapa endah kehadiran, nasihat, pesanan dan kasih sayang yang suami berikan. Tapi bila dah tiada di sisi, menangis air mata darah pun tak mampu tebus semula dosa kita pada suami. Kawan-kawan, hargai dan sayangi suami sehabis boleh. Berbakti pada suami sehabis kudrat. Redha suami, kegembiraan suami adalah syurga kita di sana. Saya rindu suami, rindukan syurga bersamanya. Tapi mampukah saya jumpa dia di sana?”

Tak tertahan air mata mengalir.

Ps: Terima kasih Nurasykin Ali belikan buku #selamatkanthukul yang dikirim. Terima kasih Nani Rahim hadiahkan buku essential oil Young Living untuk saya baca dan kaji. Tahu sangat saya memang suka membaca dan mengkaji kegunaan herba.

-sedang sarapan sambil menulis dan menimba ilmu-

Mastura Rashid

Nak tanya sesuatu?