Saya Rindu Terengganu

Okay, hari ni banyak misi nak diselesaikan. Fiona dah siap pakai baju astronaut dalam misi ujikaji kasut terbang.

Sebelum tu makan dulu cek mek molek gergasi 2 ketul supaya dapat tenaga berterusan. Yelah, sepanjang nak meroket tu akan berjumpa banyak burung entah apa-apa, ada baik, ada jahat, takde tenaga nak karate macamana.

Cek mek gergasi ni 35 sen je kat Kerandang, Jerteh.
Waktu fiona nak makan, tiba-tiba je mak cakap,

“Allah berapa sen jelah sangat untung dia buat cek mek besar macam ni. Minyak mahal, tepung mahal, gula mahal, ubi mahal, serba serbi mahal.”

Mak masih fikirkan kesusahan peniaga walaupun mak seorang pembeli. Betul, kadang-kadang kita terlupa peniaga pun ada kesusahan. Bukan kita saja yang ada kesusahan.

Cek mek ni mak beli 100 biji. Sama tempat dengan pulut panggang.

Mak dan arwah abah lebih suka membeli dari peniaga-peniaga kecil bila balik kampung. Ada je supermarket, tapi membeli dari orang-orang tua yang berniaga lebih membantu.

Saya rindu Terengganu.

Walaupun ramai saudara mara tua dah meninggal, tapi lalu di kawasan kampung sangat nostalgia. Teringat momen melihat orang-orang tua dengan lilitan kain batik atas kepala sedang berehat di depan pintu rumah. Menunggu seseorang barangkali.

Paling menenangkan jiwa bila lalu di pesisiran pantai Kuala Besut. Kelibat orang menjual lokan, kepah dan entah siput apa, buatkan saya turun juga membeli walau tak reti memasak.

Lokan, kepah yang dibeli, disimpan, dan bila balik ke Kuala Lumpur, diagih-agihkan kepada ahli keluarga yang lain.

-Mastura Rashid-

Nak tanya sesuatu?